Saturday, January 9, 2010
NE-YO elak gosip liar
NE-YO
Tidak mahu lukakan hati keluarga dengan cerita yang bukan-bukan
APABILA bergelar bintang ternama, dengan kuasa besar untuk menarik perhatian peminat di dalam tangan, sesetengah artis mula bersikap angkuh. Bukan sedikit penyanyi mahupun pelakon yang bersikap bongkak setelah nama meniti puncak populariti.
Namun, hal sedemikian tidak kelihatan pada penyanyi dan pencipta lagu terkenal, Ne-Yo.
Ketika hadir pada sidang akhbar Rabu lalu, sempena konsertnya di Sunway Surf Beach, yang berlangsung keesokannya, penyanyi dari Los Angeles, California ini langsung tidak menunjukkan sifat 'berangan', yang memudahkan sesi soal jawab bersamanya dijalankan.
Apabila penyanyi dan pelakon berusia 30 tahun itu sendiri bersikap terbuka dan mesra wartawan, maka banyaklah juga soalan, menyentuh pelbagai topik, yang sempat diajukan.
Walaupun waktu yang diperuntukkan mungkin singkat, tetapi jejaka yang dilahirkan dengan nama Shaffer Chimere Smith ini sedia melayan apa saja pertanyaan.
NE-YO muncul bersama penyanyi asuhannya, Jadyn Maria.
Paling menarik tentunya apabila dia ditanya mengenai pandangannya terhadap kehidupan yang bersih daripada skandal, pada ketika artis lelaki lain bagai tenggelam dalam pelbagai cerita peribadi yang tidak enak didengar.
Ne-Yo sememangnya antara artis yang kurang dicengkam gosip liar, mahupun cerita peribadi yang bersifat panas di dada akhbar atau majalah. Jika ada sekalipun, hanyalah kisah bagaimana dia ditahan ketika memandu laju pada Februari 2008, di Georgia. Memburukkan keadaan, dia dikatakan tidak mempunyai lesen memandu yang sah ketika itu.
Kata Ne-Yo, seboleh-bolehnya dia memang mahu menjauhi cerita panas seperti pembabitan dalam skandal dan sebagainya. Baginya, atas kesedaran itu jugalah dia berjaya mengelakkan diri daripada dihimpit cerita kurang sedap didengar, selama sedekad dia bergelumang dalam dunia hiburan.
"Saya juga tahu, ibu saya akan kecewa sekiranya mendengar cerita yang bukan-bukan mengenai anak lelakinya. Lalu, lebih baik saya sentiasa berhati-hati sebelum ia melukakan hati mana-mana pihak terutama keluarga," kata lelaki yang cukup dikenali menerusi muzik R&B dan pop ini.
Ketika yang sama, Ne-Yo yang juga seorang pelakon ini mengaku, dia cuba berusaha untuk memberikan imej lebih baik kepada muzik R&B urban yang kini dianggapnya banyak dicemari dengan unsur negatif, seperti lagu yang berbicara mengenai seks, keganasan dan dadah.
Dia tidak percaya lagu sedemikian ialah bentuk muzik yang akan menjadi ikutan pada masa depan.
"Memang tidak dinafikan, antara jalan paling mudah untuk mendapat populariti adalah dengan menghasilkan lagu mengenai seks serta benda-benda negatif, walaupun ia bukanlah cara yang betul untuk mencipta nama.
"Sedangkan, ada cara lebih baik untuk kita memperkatakan mengenai topik terbabit, bukan menerusi lirik lagu yang bukan-bukan. Saya sendiri berusaha melahirkan lagu yang diharap dapat memperbaiki imej negatif R&B urban itu," katanya.
Tulis lagu untuk Beyonce
SELAIN masyhur dengan lagunya sendiri seperti So Sick, Closer dan Miss Independent, Ne-Yo juga sebenarnya penyanyi dan penulis lagu yang dihormati dek kualiti serta populariti lagu yang diciptanya untuk penyanyi lain. Antaranya ialah Unfaithful dan Take a Bow nyanyian Rihanna, serta Irreplaceable dendangan bintang jelita, Beyonce Knowles.
Penyanyi lain yang pernah menggunakan khidmat ciptaannya termasuk Celine Dion, Whitney Houston, Anastacia, Ciara, Corbin Bleu, Lindsay Lohan, Leona Lewis dan Enrique Iglesias.
"Lagu Irreplaceable ialah antara lagu yang memang menjadi kesukaan saya, secara peribadi. Lebih-lebih lagi apabila ia sebenarnya dicipta untuk diri sendiri. Namun apabila ia dinyanyikan Beyonce, ia memang nampak lain sekali. Tidak disangka-sangka, lagu itu benar-benar disukai ramai dan menjadi antara lagu pilihan golongan wanita," ujar artis ini sambil mendedahkan So Sick sebenarnya dicipta ketika ia berdepan emosi akibat cinta pertama.
Tidak cukup dengan nyanyian dan ciptaan, Ne-Yo cuba mencungkil bakat baru dengan mengasaskan syarikat rakamannya sendiri.
Lalu, bersama label Compound Entertainment, penghibur yang dilahirkan di Camden, Arkansas ini memperkenalkan seorang penyanyi wanita berusia 24 tahun, Jadyn Maria.
Pada konsertnya di Kuala Lumpur, Jadyn turut tampil sebagai artis pembuka tirai, bersama penyanyi tempatan, Najwa Mahiaddin.
Katanya, ketika ini dia sibuk menyiapkan album sulung Jadyn, selepas artis pertama mengikat kontrak bersama Compound itu dikenali menerusi single Good Girls Like Bad Boys.
Ne-Yo menemui Jadyn apabila mereka berkongsi syarikat penerbit yang sama. Dia kagum dengan bakat Jadyn yang bukan hanya mampu menyanyi, bahkan turut memiliki keupayaan mencipta lagu sendiri.
"Saya memang agak cerewet apabila bersembang mengenai bakat. Saya lebih sukakan seseorang artis yang memang sudah mempunyai bakat dalam diri, kerana artis seperti itu tidak memerlukan banyak asuhan lagi. Apatah lagi, amat jarang untuk kita temui artis yang mampu menulis lagu sendiri," katanya.
Berhubung cerita kononnya dia juga bekerjasama dengan Michael Jackson, penyanyi yang turut mempunyai yayasan sendiri, Compound Foundation ini berkata, sememangnya dia pernah bertemu bintang pop terkemuka dunia itu.
"Kami juga pernah berbicara mengenai soal bekerjasama untuk projek album beliau yang seterusnya. Tetapi, ketika itu Michael mulai sibuk dengan persiapan konsert. Nampaknya kerjasama itu hanya tinggal kenangan apabila beliau pergi meninggalkan kita semua," katanya.
Konsert pertama Ne-Yo di Kuala Lumpur pada 7 Januari lalu dipersembahkan oleh X-Pax, di bawah anjuran Phuture Phlow, bersama kerjasama Capital 360, WBC Spyder, Sunway Resort Hotel Spa dan Tourism Malaysia.
Info Ne-Yo
Nama Asal: Shaffer Chimere Smith
Keluarga: Bapanya adalah Afrika Amerika, ibunya pula berdarah campuran Amerika dan China, kedua-duanya pemuzik.
Tarikh Lahir: 18 Oktober 1979
Tempat Lahir: Camden, Arkansas
# Kehidupannya banyak dipengaruhi keluarga sebelah ibunya di Las Vegas, Nevada, kerana ketika kecil, kedua orang tuanya berpisah.
Tempat Dibesarkan: Los Angeles, California
Profesion: Penyanyi, Pencipta lagu, Penerbit Album, Pelakon
Album: In My Own Words (2006), Because of You (2007), Year of the Gentleman (2008)
Filem: Save the Last Dance 2 (2007), Stomp the Yard (2007), Red Tails (2010), Battle LA (2011)
Labels:
KL wear gossip
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment