Ingin sentiasa update dengan KL wear..just drop ur email here guys..thanks:

Delivered by FeedBurner

Tuesday, January 12, 2010

Warna popular 2010

"DUNIA fesyen tahun 2010 banyak hubung kaitnya dengan peribadi individu itu sendiri. Sukar untuk menjelaskan secara terperinci gaya fesyen tertentu mengikut tahun kerana terlalu banyak pengaruh akan menular pada bila-bila masa.

"Memasuki tahun baru tidak bermakna kita perlu menukar kesemua gaya dan pakaian yang ada. Sewajarnya kita perlu melihat, memerhati dan membelek fesyen terkini bagi mendapatkan inspirasi. Kemudian gabungkan dengan peribadi anda," terang Pengarah Fashion Nordstrom, Gregg Andrews, yang dipetik menerusi laman sesawang worldnews.com.

Andrews memberitahu, individu boleh melakukan trend fesyen sendiri dengan memilih warna atau bijak bermain dengan tekstil yang 'in' dengan trend fesyen terkini.

Sementara itu, pereka fesyen tempatan yang semakin meningkat naik, Hazree Wahid, turut mengakui kenyataan tersebut. Jelas Hazree yang memiliki butik di pusat beli-belah Ampwalk di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, menjelang akhir tahun penggemar fesyen mula sibuk mencari dan mengkaji trend fesyen untuk tahun akan datang.

Ironinya, laman sesawang fesyen antarabangsa yang akan menjadi tumpuan memandangkan label fesyen terkemuka banyak didapati di Eropah dan Amerika Syarikat (AS). Kadangkala segelintir pihak melahirkan rasa kesal kerana sebahagian koleksi fesyen yang ditawarkan agak kurang sesuai untuk dipraktikkan di Malaysia.

SET mekap jenama M.A.C tahun 2010 turut memilih warna merah jambu.

"Mengapa? Inilah antara kesalahan kecil yang dilakukan oleh masyarakat tempatan. Tidak salah untuk kita melihat fesyen terbaru dengan berpaksikan trend dari luar negara. Namun perlu difahami perbezaan faktor cuaca antara kekangan yang menyebabkan kita sukar untuk meniru fesyen dari luar.

"Masyarakat di luar negara memiliki seleksi fesyen busana mengikut musim. Tetapi tidak di Malaysia yang hanya mempunyai musim hujan dan panas. Justeru, saranan saya fesyen musim panas, bunga dan percutian yang dipraktikkan di luar negara antara pilihan yang ideal untuk diaplikasikan di sini," ujar Hazree Wahid ketika ditemui Stailo baru-baru ini.

Warna-warna pilihan

Menyingkap tirai warna 2010, antara Januari hingga Jun penggunaan warna-warna terang seperti kuning, merah, ungu dan merah jambu akan menjadi buruan. Terutama bagi koleksi fesyen kasual, ranggi dan fesyen jalanan untuk anak-anak muda.

Barangkali segelintir individu takut untuk bergaya dalam persalinan warna itu. Namun, jelas Hazree, koleksi pakaian yang diperbuat daripada himpunan warna terang tiada cacat celanya. Asalkan pengguna bijak mengamalkan konsep suai dan padan.

INDIVIDU disarankan bijak memainkan warna mengikut personaliti dan trend semasa.

Terang anak kedua daripada tiga adik-beradik itu, warna merah jambu ton lembut dan terang merupakan nuansa kegemaran industri fesyen pada tahun ini.

Misalnya, individu yang sudah memakai baju warna merah jambu terang, maka untuk melembutkan penampilan padankan saja bersama seluar atau skirt warna merah jambu lembut.

Rekaan fabrik

Nampak gayanya trend merah jambu terbukti apabila jenama fesyen popular seperti DKNY dan Marc by Marc Jacobs turut mendapatkan sentuhan warna merah jambu. Boleh dikatakan koleksi fesyen musim luruh 2010 banyak menggunakan warna merah jambu sama ada pada baju, skirt, jaket dan aksesori kepala.

Dari segi fabrik, 2010 memperlihatkan pilihan fabrik tekstur lembut seperti sifon, georgette dan kain kapas yang ringan.

SKIRT pendek kembang bakal menjadi tumpuan trend fesyen 2010.

Selain itu kumpulan pereka tempatan dan antarabangsa pula mentafsirkan tahun ini seperti mengalu-alukan kehadiran fesyen vintaj ala 70-an. Ini kerana potongan blaus dan kemeja yang pernah popular pada zaman 70-an kembali mewarnai pentas fesyen tahun. Antaranya blaus dan kemeja yang memiliki potongan yang sedikit longgar.

Tidak ketinggalan, penghasilan skirt mini kembang dan dres mini yang berpotongan A.

"Bukan sahaja skirt mini kembang yang bakal menjadi tumpuan malah seluar pendek paras lutut atau separa paha juga merupakan item fesyen popular 2010," ujar Hazree Wahid menamatkan bicara.

No comments:

Post a Comment

Powered By