Ingin sentiasa update dengan KL wear..just drop ur email here guys..thanks:

Delivered by FeedBurner

Wednesday, January 13, 2010

Puaskan peminat di Sunway Lagoon






HANYA menjejakkan kaki di Malaysia dan Filipina untuk konsert jelajahnya, Ne-Yo Year Of The Gentleman Tour di rantau Asia Tenggara, tidak rugi rasanya hampir 5,000 peminat menunggu dalam keadaan panas dan sesak lebih sejam untuk melihat idola mereka beraksi buat kali pertama di sini.

Bertempat di Sunway Lagoon Surf Beach, ramai yang pada mulanya kurang percaya bahawa konsert itu akan terlaksana memandangkan senario pembatalan beberapa konsert penyanyi antarabangsa sebelum ini.

Namun, Ne-Yo atau nama sebenarnya, Shaffer Chimere Smith ternyata tidak mengecewakan peminatnya malah selepas melihat audiens yang teruja sepanjang konsert, penyanyi berusia 30 tahun itu menyuarakan rasa kesal kerana hanya mengunjungi Malaysia pada Rabu minggu lalu untuk sidang media dan menyempurnakan konsert pada keesokan harinya.

"Pertama kali di Malaysia, saya sepatutnya berada di sini dari dulu lagi. Selain wanita cantik, Malaysia juga memiliki cuaca yang baik. Percayalah, ini tidak akan menjadi kali terakhir saya melawat negara ini," ujar Ne-Yo.

Terkenal dengan lagu-lagu balada yang rata-ratanya diminati pendengar wanita, maka tidak hairan jika purata penonton yang hadir juga dikuasai oleh kaum Hawa. Bukan sahaja memikat pendengar dengan lagu-lagunya, Ne-Yo juga pandai menggoda peminatnya dengan lontaran ayat-ayat manis.

Memulakan persembahan dengan penyampaian lagu Because Of You dan diikuti dengan single, Sexy Love menyusul menghuburkan audiens selepas itu. Bertemankan penari di atas pentas ringkas, kredit harus diberikan kepada Ne-Yo yang mampu menyanyi sambil menari pada hampir setiap lagu.

Berimej sederhana, Ne-Yo sepanjang persembahan selama satu jam dan 45 minit hanya mengenakan dua persalinan. Dibasahi dengan peluh sendiri, Ne-Yo yang memakai topi turut menghiburkan dengan lagu popularnya Mad dan So Sick.

Terkenal sebagai penulis lagu sebelum mula diangkat sebagai penyanyi, Ne-Yo juga mengambil peluang untuk menyampaikan medley lagu-lagu yang ditulisnya kepada penyanyi lain. Antaranya termasuk Irreplaceable (Beyonce), Take A Bow (Rihanna), Let Me Love You (Mario) dan Knock You Down (Keri Hilson).

NE-YO menyampaikan lagu sambil menari bersama penari-penarinya.

Dipersembahkan oleh Xpax dan dianjurkan oleh Phuture Phlow, Ne-Yo yang mengagumi penyanyi legenda, Michael Jackson banyak dipengaruhi oleh Raja Pop itu, tidak kira dalam aspek muzik dan tarian.

Akui Ne-Yo, dia mungkin tidak akan meneruskan impian untuk menjadi penyanyi jika bukan kerana Michael Jackson.

Selepas menyampaikan lagu Lie To Me dan Stop This World, pemuzik Ne-Yo juga memainkan muzik lagu-lagu Michael Jackson termasuk Don't Stop Till You Get Enough dan Beat It. Segmen menarik itu turut membantu merancakkan keseluruhan konsert yang sudah mendekati penghujung.

NE-YO penuh semangat ketika mengadakan konsert di Sunway Lagoon minggu lalu.

Konsert itu juga dijayakan oleh penyanyi tempatan, Najwa Mahiaddin dan protege Ne-Yo, Jaydn Maria.

Memilih untuk menghadiahkan lagu Miss Independent, Never Knew I Needed dan Closer sebelum meninggalkan pentas, jelas sekali peminatnya masih tidak mahu melepaskan penyanyi yang berasal dari Los Angeles, California itu.

Menyanyi dan bersorak sama, Ne-Yo berjaya melaksanakan tugasnya menghiburkan peminat tanpa sebarang kekecewaan.

Ne-Yo tunggu lama

Kejayaan Ne-Yo tidak datang dengan mudah. Penyanyi itu mula mencuba nasib dalam industri sekitar tahun 2000 tetapi hanya memiliki album sulungnya, In My Own Words pada tahun 2006.

Malah, dia dikenali secara komersial bukan hanya kerana bakatnya dalam nyanyian tetapi kerana lagu yang ditulisnya.

LEBIH 5,000 peminat Ne-Yo teruja melihat aksi kali pertama penyanyi itu di negara ini.

Lagu Let Me Love You nyanyian Mario memberikan peluang kepadanya untuk menjadi artis di bawah syarikat Def Jam yang ketika itu dikendalikan oleh penyanyi rap, Jay-Z.

Kini mempertaruhkan album ketiga, Year of the Gentleman (2008), Ne-Yo yang sudah mempunyai pangkalan peminat di seluruh dunia berpeluang menemui penyokongnya di Malaysia.

Sibuk berlakon

Ketika ditemui pada sidang media singkat, Ne-Yo yang mesra sempat berkongsi sedikit cerita mengenai perkembangan terbarunya. Bekerjasama dengan Disney dalam menjayakan lagu tema filem animasi, Princess And The Frog, Never Knew I Needed, Ne-Yo kini sedang sibuk dengan lakonan.

"Selain menjayakan album pertama protege saya, Jaydn Maria, saya juga sibuk berlakon. Dua buah filem itu adalah Battle: Los Angeles dan 4Chosen. Namun, anda perlu menunggu lama lagi sebelum filem itu ditayangkan," katanya yang pernah berlakon dalam filem Stomp the Yard.

Suka menulis lagu dengan lirik yang tidak melampau walaupun mengkritik, Ne-Yo lebih gemar menyampaikan mesej dengan maruah diri. Dia juga seorang yang kreatif dan sentiasa berharap untuk bekerjasama dengan idolanya, Michael Jackson.

BERBAKAT dalam mencipta lagu, Ne-Yo semakin disegani di pentas muzik antarabangsa.

"Kami sebenarnya sudah berbincang lama menerusi telefon untuk bekerjasama. Namun, Michael mahu menangguhkan projek itu kerana sibuk dengan konsert meganya. Tapi malang, projek itu tidak dapat dilaksanakan selepas kematiannya," kata Ne-Yo yang mempunyai darah kacukan Cina.

Mahu bekerjasama dengan penyanyi klasik Asia, Ne-Yo sering mendapat inspirasi menulis daripada kisah hidupnya sendiri. Namun, dia seorang artis yang berhati-hati kerana tidak mahu menjadi berita muka depan akhbar.

"Ibu dan nenek saya amat penting dalam hidup saya. Jadi saya tidak mahu mereka sedih apabila membaca berita buruk mengenai saya di dada akhbar atau Internet," katanya yang membesar bersama ibunya selepas ibu bapanya berpisah sejak kecil.

No comments:

Post a Comment

Powered By