Ingin sentiasa update dengan KL wear..just drop ur email here guys..thanks:

Delivered by FeedBurner

Wednesday, January 13, 2010

Perkhidmatan kelas pertama

Pusat sehenti yang beroperasi 365 hari setahun itu menawarkan perkhidmatan kelas pertama apabila menyediakan khidmat nasihat percuma secara peribadi kepada penggemar fotografi.


DUNIA pengimejan digital dan fotografi memainkan peranan penting dalam merakamkan detik bersejarah agar ia dapat diabadikan buat selama-lamanya.

Bahkan, trend penggunaan pengimejan digital dan fotografi kini semakin diminati khususnya golongan muda.

Menyedari hakikat itu, pakar pengimejan, Nikon Corporation telah membuka sebuah pusat sehentinya yang pertama di rantau Asia Tenggara dan negara ini.

Ia bagi memastikan supaya orang ramai dapat merasai sendiri pengalaman baru dalam dunia pengimejan digital dan fotografi.

Pusat sehenti seluas 250 meter persegi yang menelan belanja RM2 juta itu dibuka di aras satu, sayap timur pusat beli-belah Berjaya Times Square, Kuala Lumpur mempunyai keunikan tersendiri.

Keunikan pusat sehenti yang beroperasi selama 365 hari setahun itu menawarkan perkhidmatan kelas pertama apabila menyediakan khidmat nasihat percuma secara peribadi untuk pelanggannya.

Perkhidmatan itu dibuat dengan bantuan pekerja terlatih dan peramah, sekali gus memastikan pelanggan berasa selesa dan dihargai.

PUSAT Sehenti Nikon bertujuan mendekatkan lagi orang ramai dengan jenama tersebut.

Dalam pada itu, penggemar fotografi yang berkunjung ke pusat sehenti itu juga berpeluang untuk memberi pengalaman baru mengendalikan pelbagai jenis kamera Nikon model Coolpix termasuk untuk kompak dan Digital Single Lens Reflex (DSLR).

Ia diuruskan oleh Futuromic Photo AV Sdn. Bhd. Penyedia Perkhidmatan Diperakui Nikon di Malaysia itu memulakan operasinya pada penghujung tahun lalu.

Pusat itu turut menyediakan perkhidmatan membaiki peralatan jenama Nikon dengan pekerja teknikal berpengalaman luas dalam bidang fotografi.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Operasi Nikon Corporation Asia, Nobuyoshi Gokyu, pusat sehenti pertama di Malaysia itu bertujuan menampung kehendak pelanggan-pelanggan Nikon yang semakin meningkat di negara ini.

"Angka jualan dari April hingga Disember tahun lepas mencatatkan pertumbuhan sebanyak 20 peratus dari tahun ke tahun untuk syarikat itu di Asia. Sumbangan Malaysia terhadap jualan Asia adalah kira-kira sepuluh peratus.

"Dalam tempoh sama, jualan di Malaysia berkembang pesat sebanyak 40 peratus. Jadi pembukaan pusat sehenti ini adalah tepat pada masanya untuk mendekati lagi pelanggan-pelanggan kami," katanya selepas merasmikan pusat tersebut baru-baru ini.

NIKMATI pengalaman baru dunia pengimejan digital dan fotografi.

Pusat sehenti itu tidak hanya memberikan perkhidmatan teknikal dan cara penggunaan peralatan pengimejan digital serta fotografi jenama Nikon semata-mata.

Sebaliknya, ia turut mempunyai galeri sendiri yang mempamerkan hasil karya jurugambar tempatan dengan rumusan gambar tersebut untuk memberi inspirasi kepada orang ramai.

Galeri

Galeri berkenaan juga memberi peluang kepada penggemar fotografi amatur, pelajar-pelajar dan orang ramai untuk mengenengahkan hasil karya mereka untuk dijadikan tatapan kepada umum tanpa sebarang bayaran. Malah, acara bulanan seperti Hari Nikon dan Perbincangan Fotografi turut diadakan di pusat itu.

GALERI yang memberi peluang kepada penggemar fotografi amatur, pelajar-pelajar dan orang ramai untuk mengenengahkan hasil karya mereka.



Hari Nikon bertujuan untuk memberi peluang kepada pengguna produk bertukar-tukar pendapat, idea, pengalaman, berdialog serta mengembangkan rangkaian masyarakat Nikon di negara ini.

Sementara Perbincangan Fotografi merupakan medium terbaik untuk orang ramai membincangkan tentang teknik mengambil gambar, menggunakan kamera digital, menggunakan perisian fotografi dan pelbagai lagi topik menarik.

Bukan itu sahaja, dari semasa ke semasa fasilitator berpengalaman luas dalam bidang pengimejan digital dan fotografi tempatan akan dijemput untuk memberi panduan, bengkel serta seminar kepada penggemar fotografi.

Terdapat juga bilik pameran mengenengahkan produk-produk Nikon model Coolpix, kamera Digital Single Lens Reflex (DSLR), pancaran cahaya kamera dan perisian terkini Capture NX untuk jurufoto.

Selain Malaysia pusat sehenti seumpamanya hanya terdapat di Jepun, China dan Hong Kong.

Kata Gokyu, pusat sehenti itu juga diharap dapat mendekatkan lagi orang ramai dengan jenama Nikon yang semakin popular di kalangan penggemar pengimejan digital dan fotografi.

"Kami ingin semua orang berasa seperti rumah sendiri apabila berada di pusat sehenti ini. Kita menawarkan perkhidmatan servis, demonstrasi produk, seminar, bengkel fotografi dan pameran hasil kerja jurugambar tempatan.

"Kami akan membuktikan bahawa kepuasan pelanggan terutama jurugambar sentiasa diberi perhatian," katanya.

ORANG ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada kakitangan Nikon.

Sementara itu, Pengarah Urusan Futuromic Photo AV Sdn. Bhd., Francis SM Lai berkata, sejak pusat sehenti itu dibuka pada pertengahan Disember lalu, hampir 20,000 pengunjung telah mengunjunginya.

"Ia menunjukkan satu petanda positif dalam mengembangkan minat orang ramai kepada dunia fotografi di negara ini.

"Sasaran kami adalah untuk menjadikan pusat sehenti ini sebagai lokasi tarikan menarik kepada orang ramai khususnya penggemar pengimejan digital dan fotografi," ujarnya.

Francis menambah, pusat sehenti tersebut juga mampu memainkan peranan dalam mempromosikan warna-warni kehidupan masyarakat di negara ini melalui karya-karya jurugambar terkenal tanah air di galeri Nikon.

PUSAT sehenti yang menjadi platform untuk kepada para penggemar dunia fotografi.

Pusat sehenti berkenaan boleh menjadi platform terbaik kepada mereka yang menggemari bidang fotografi untuk mendapat pendedahan terbaik mengenai dunia pengimejan digital dan fotografi.

"Pusat sehenti ini akan diuruskan oleh jurugambar terkenal tanah air, Alex Moh dan pasukan teknikal terbaik untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai," katanya.

Sempena pembukaan pusat sehenti Nikon ini satu pertandingan fotografi bertemakan A Celebration of Colours, Culture and Culture with Nikon dianjurkan.

Tarikh tutup pertandingan berkenaan ialah pada 30 Mac 2010. Borang penyertaan boleh didapati di Pusat Sehenti Nikon ataupun layari laman sesawang www.nikoncentre.nikon.com.my.

No comments:

Post a Comment

Powered By