Ingin sentiasa update dengan KL wear..just drop ur email here guys..thanks:

Delivered by FeedBurner

Friday, January 15, 2010

Lagu seunik fesyen



SIAPA tidak kenal Lady Gaga? Jika bukan kerana muziknya, anda juga mungkin mengenali figura itu menerusi fesyennya yang pelik. Tahun 2009 boleh dikatakan sebagai tahun gemilang buat Lady Gaga. Selain kedua-dua albumnya, The Fame (2008) dan The Fame Monster (2009) terjual sebanyak lapan juta unit di seluruh dunia, lagu-lagunya juga telah dimuat turun sebanyak 35 juta kali.

Mencipta fenomena budaya pop dengan gabungan muzik dan fesyen, pemilik nama Stefani Joanne Angelina Germanotta itu juga dicalonkan dalam lima kategori untuk anugerah Grammy ke-52 yang bakal berlangsung pada 31 Januari ini.

Seringkali dibandingkan dengan Madonna, penyanyi kelahiran New York itu menjadikan David Bowie, Freddie Mercury, Madonna dan Michael Jackson sebagai sumber inspirasinya. Mendapat nama Gaga daripada lagu kegemarannya, Radio Ga Ga nyanyian Queen, Lady Gaga, mungkin pada mulanya dituduh menggunakan fesyen untuk mendapatkan populariti sekelip mata.

Ada juga yang menyatakan dia terdesak. Namun, Lady Gaga membuktikan bahawa dia serius terhadap muzik dan fesyen ciptaannya. Kerja kerasnya berbaloi apabila dia kini menjadi kegilaan ramai tidak kira dari segi muzik atau fesyen.

Lady Gaga, 23, juga merupakan penulis lagu profilik yang pernah menyumbang lagu untuk Britney Spears dan Pussycat Dolls. Seorang penyanyi yang gigih untuk mengecapi impiannya sebagai pejuang muzik, ikuti petikan temu bual di bawah untuk mengenali lebih lanjut mengenai hidup dan karier seorang Lady Gaga.

Anda suka mencipta perkataan baru dan sering menggunakannya dalam lagu anda. Boleh ceritakan sikit mengenainya?

Perkataan-perkataan baru selalu keluar daripada mulut saya tanpa disedari. Jika saya mencipta perkataan atau terma baru, ia akan menjadi titik fokus kepada projek atau album saya.

Ramai yang tidak sabar menantikan klip video anda setiap kali sesebuah lagu itu popular. Dari mana anda mendapat inspirasi?

Tidak seperti orang lain, saya menulis lagu dan pada masa yang sama membuat keputusan bagaimana untuk merakamkan klip video. Ia memberikan visual yang sempurna - lagu, klip video dan cara untuk membuat persembahan di atas pentas. Idea itu datang sekali. Itu adalah metafor saya kerana saya membikin muzik untuk kesemua visi persembahan.

Ceritakan sedikit mengenai lagu Paparazzi kerana ia memberi pelbagai tafsiran berbeza.

Itulah idea kepada keseluruhan lagu itu iaitu memberikan pelbagai tafsiran. Lagu itu adalah mengenai beberapa perkara berbeza. Pergelutan saya - adakah saya mahukan populariti atau cinta? Ia adalah juga mengenai saya memikat paparazzi supaya mereka menyukai saya. Ia adalah lagu mengenai cinta dan populariti. Bolehkah anda memiliki kedua-duannya atau hanya salah satu daripadanya?

Apakah yang mempengaruhi muzik anda kerana anda membesar di bandar New York dan belajar di Manhattan?

Saya mempelajari muzik klasik dan membesar dengan melepak di kelab jazz. Selain menyertai kumpulan jazz, koir, saya juga menyukai rock and roll. Jadi saya sebenarnya dikelilingi pelbagai muzik sejak kecil. Saya bukannya jenis wanita yang akan melepak dengan lelaki selepas sekolah. Saya selalu terlibat dengan perkara-perkara artistik.

Semasa anda menulis lagu pop, apakah pendekatan anda supaya lagu anda bersesuaian dengan dunia pop muzik?

Pastinya bergantung kepada melodi korus lagu itu. Saya tidak tahu bagaimana untuk menjelaskannya tetapi anda akan tahu sama ada lagu itu akan menjadi popular atau tidak menerusi korus lagu.

RAMBUT palsu berwarna perang kerap menjadi pilihan Lady Gaga.

Apabila anda mula menulis melodi dan kemudian mendapat liriknya dengan cepat. Itu akan menjadi sebuah lagu yang baik. Semakin lama masa yang diambil, ia mungkin tidak akan menjadi sebuah lagu yang hebat.

Adakah anda menggunakan pendekatan berbeza semasa anda menulis untuk orang lain dan lagu yang akan disampaikan sendiri?

Kadangkala apabila saya menulis untuk diri sendiri, saya akan cuba perkara yang lebih berisiko. Selebihnya adalah sama kerana setiap lagu pada saya adalah seni yang istimewa. Melodi dan liriknya datang daripada jiwa yang sama.

Adakah anda berpendapat diri anda sudah cukup popular?

Saya selalu berpendapat diri saya popular walaupun saya tidak (ketawa). Jadi populariti bukan sesuatu yang difikirkan sekarang. Populariti pada saya adalah apabila tidak ada orang yang mengenali anda tetapi mereka mahu mengenali anda.

Saya masih melalui proses tersebut. Saya suka apabila muzik atau fesyen saya memberi efek kepada budaya pop. Itu membuatkan saya berasa popular.

Bagi saya, ia adalah penting untuk saya melihat remaja sekarang meniru gaya saya atau bercakap dengan menggunakan perkataan baru atau mendengar lagu yang tidak pernah disukai sebelum ini.

Beberapa buah lagu anda digunakan dalam drama Gossip Girl. Pernahkah anda menonton TV dan tahu lagu anda digunakan untuk siri itu?

Saya tahu mengenainya. Nampaknya ia berkesan kerana TV, filem atau kelab kini banyak menggunakan produk saya kerana ia mencerminkan budaya terkini.

Anda seorang yang gila bekerja. Komen sedikit tentang obses anda terhadap kerjaya?

Saya bukannya bekerja untuk mengejar populariti tetapi impian saya. Dulu sebelum saya dikenali saya tinggal di dalam sebuah bilik kecil dengan sebuah piano dan sebuah impian bergelar penyanyi.

Selepas bekerja keras akhirnya bakat, muzik, idea dan fesyen saya mula diminati. Ia menuntut komitmen kerja yang tinggi.

Anda meninggalkan Universiti New York (NYU) pada usia 19 tahun. Mengapa tidak menghabiskan pengajian?

Saya sukakan NYU tetapi berpendapat bahawa saya boleh mengajar diri sendiri mengenai seni lebih baik daripada sekolah. Saya merasakan New York adalah 'guru' saya dan saya mahu merasainya seorang diri. Saya tidak berminat untuk menghadiri parti seperti budak remaja lain. Saya lebih suka kelab muzik dan bekerja sebagai pelayan.

Klik untuk melihat care pemakaian lady gaga

No comments:

Post a Comment

Powered By