Ingin sentiasa update dengan KL wear..just drop ur email here guys..thanks:

Delivered by FeedBurner

Sunday, March 14, 2010

Alice In The Wonderland = Borink???


BUKAN sedikit yang teruja melihat tajuk filem, Alice Di Wonderland. Minggu pertama filem ditayangkan, ramai yang berasa hampa kerana terpaksa beratur panjang mendapatkan tiket kerana semuanya habis dijual.

Keterujaan dan harapan untuk dihiburkan oleh filem yang didukung oleh aktres Australia, Mia Wasikowska, agak menghampakan dan lebih indah khabar dari rupa.

Penceritaan bermula dengan Alice harus kembali ke Wonderland untuk melenyapkan kekuasaan Red Queen (Helena Bonham Carter).

Usia Alice kini 19 tahun dan dia masih mendapat mimpi yang sama seperti ketika dia berusia 6 tahun.
White Queen lakonan Anne Hathaway.

Alice yang bimbang melepasi masa kanak-kanaknya secara tak sengaja terlihat seekor arnab keluar dari satu lubang putih di sebuah pokok yang pernah ditemuinya di Wonderland waktu dia kecil dulu. Dek ghairah mengejar arnab putih, Alice terpelusok masuk ke dalam lubang dan ternyata itu adalah laluan Alice ke Wonderland.

Gadis yang kuat bermimpi itu tersedar segala yang pernah dimimpikan sebelum ini, sewaktu dia akan ditunangkan dengan lelaki menjengkelkan yang berdarah bangsawan.

Alice pun berlari meninggalkan majlis pertunangannya dan menuju ke laluan istimewa itu, yang membawanya ke gerbang menuju Wonderland.

Sesampainya di Wonderland, Alice baru sedar bahawa Wonderland tidak lagi seindah semasa kecilnya dulu. Banyak tempat-tempat indah kenangan lama sudah musnah kerana kekejaman dan kerakusan Red Queen, yang merampas kuasa dari adiknya White Queen (Anne Hathaway).

Penghuni Wonderland cuma mampu menunggu waktu sesuai untuk mengambil kembali kuasa dari Red Queen. Hanya satu orang saja yang mampu menolong iaitu Alice.

Untuk tujuan itu, Alice harus berjuang dengan pertolongan teman-teman masa kecilnya, Cheshire Cat (Stephen Fry), Tweedledee dan Tweedledum (Matt Lucas), March Hare (Noah Taylor), Mad Hatter (Johnny Depp) dan Absolem (Alan Rickman).

Filem fantasi produksi Walt Disney Pictures ini amat dinanti-nantikan tetapi penantian filem ini seperti tidak berbaloi langsung.

Jalan cerita yang kurang mantap, terlalu mendatar bagai tidak merangsangkan minda. Mungkin lebih wajar, jika hubungan hubungan antara Alice dan Mat Hatter (Johnny Depp) dieksploitasikan untuk mewujudkan satu klimaks penceritaan.
Tweedledee dan Tweedledum dilakonkan oleh Matt Lucas.

Jika ada pun keistimewaan filem yang diinspirasikan dari karya novelis Inggris Charles Lutwidge Dodgson, terbitan tahun 1865 itu, adalah kemampuan pengarah menyajikan imej yang unik.

Kisah Alice yang ketemu dunia fantasi sepatutnya lebih menarik lagi. Dunia fantasi Alice digambarkan sarat dengan makhluk pelbagai dan citra kehidupan yang beragam tapi seperti ada yang kurang dalam filem ini.

Plot filem ini juga banyak dihiasi imej aneh dan kesemua keajaiban itu dizahirkan oleh Burton dalam teknik antara gambaran realiti dan animasi. Teknologi canggih 3-D berjaya membuat semua kesan ini lebih menjadi.
Johnny Depp lakonan Mad Hatter.

Filem Alice in Wonderland versi Tim Burton ini juga agak jauh menyimpang dari cerita asal. Tim, yang telah menghasilkan filem seperti Beetlejuice, The Nightmare Before Christmas, Batman, Batman Returns, Sleepy Hollow, Planet of the Apes, dan Charlie and the Chocolate Factory memberi sentuhan gothic dengan gaya tersendiri.

Naskah filem tulisan Linda Woolverton ini juga masih mengekalkan karakter yang sama, cuma penceritanya saja yang berbeza, kabur dan kurang memikat.

Malah, filem berlatar belakangkan era Victorian ini, memberi mesej yang keliru dari semua filem Alice sebelumnya.

Dari segi lakonan, Mia Wasikowska sebagai Alice agak mendatar begitu juga dengan watak Red Queen, ratu berkepala bulat, besar dan memiliki lidah berbisa lakonan Helena Bonham Carter. Imej Helena menarik tapi lakonan biasa-biasa saja.

Hanya Johnny Depp sebagai si gila Mad Hatter benar-benar menguasai filem, paling menarik dan karektornya sungguh bergaya dengan topi ajaib, satu identiti unik yang akan melekat di dalam kepala sampai bila-bila.

Disebabkan itu, sayang sekali bukan Alice yang menjadi kekuatan filem ini, sebaliknya watak Mad Hatter lebih mendapat tumpuan.

Christopher Lee sebagai Jabberwock, naga jahat milik Red Queen tidak lebih seperti karektor kartun.

Suasana halusinasi yang dicipta untuk filem ini juga agak dramatis.

Ramai juga yang membandingkan filem ini dengan Avatar karya James Cameron. Ternyata kedua-dua filem ini berada dalam liga mereka masing-masing. Yang pasti, impak Avatar jauh lebih terkesan.

Jika disuruh buat pilihan, Avatar sangat jauh menghiburkan sedangkan Alice in The Wonderland 'menyedihkan'.


p/s: hurm actually KL wear bru je nak tgk cter nie tp kalo dh org byk komen cte nie xbesh..tgu dvd beli kcang minum coke tgk rumah jela kan..~hua hua

No comments:

Post a Comment

Powered By